Friday, October 29, 2010

Manifesto : REFORMASI 3.0


Tahun 1998 menjadi batu tanda utama dalam sejarah Malaysia  dengan tercetusnya gelombang Reformasi. Gerakan pembaharuan ini adalah usaha besar melakar semula dan membentuk kembali jiwa dan citra Malaysia yang suram dan celaru akibat penyelewengan dan korupsi yang berleluasa.

Kita mempunyai cita-cita besar agar nilai menjadi paksi negara kita, menjadi pegangan rakyat. Kerana itu kita berjuang dan terus berjuang. Kerana itu kita telah dan terus sedia berkorban. Kita komited untuk
menyelamatkan negara ini daripada rosak akibat tangan pemerintah yang rakus terhadap kuasa dan harta tetapi mengesampingkan hak dan kepentingan rakyat.

Kita percaya negara ini yang pernah menjadi tapak tamadun besar dunia dan pusat ekonomi utama akan mampu kembali memimpin rantau ini dan menjadi ikutan dunia dengan kembali berpegang kepada nilai-
nilai keadilan dan keterbukaan.

Fasa pertama Reformasi ditandai dengan kebangkitan berani rakyat Malaysia menuntut keadilan dan menentang kezaliman. Anak muda sejak hari pertama Reformasi memainkan peranan berkesan memimpin
dan meniup semarak semangat rakyat Malaysia. Perjuangan menuntut keadilan untuk Anwar adalah simbol tuntutan rakyat agar keadilan ditegakkan secara tuntas dan mahkamah dibebaskan daripada kawalan pemerintah. Dengan itu setiap rakyat akan berpeluang mendapat keadilan dan pembelaan selayaknya.

Pembebasan Anwar Ibrahim pada tahun 2004 membuka fasa kedua Reformasi. Ia telah menyemarakkan lagi iltizam anak muda untuk menggembling tenaga memperkasakan parti dan membina kesedaran rakyat. Tatkala ramai ragu-ragu untuk berhadapan dengan Pilihanraya Umum pada tahun 2008, khususnya selepas berlaku pengkhianatan dan pembelotan beberapa pemimpin, Angkatan Muda Keadilan menjadi pasak keyakinan apabila pada Kongres 2007 mengangkat tema “Daripada Harapan Kepada Kemenangan”. Meski ada yang berpandangan sinis bahawa kita sekadar menaruh harapan dan bermimpi di siang hari, ternyata kita menzahirkan kemahuan dan keyakinan rakyat yang memberikan pukulan paling hebat dalam sejarah terhadap penguasaan Barisan Nasional.

Kemenangan di lima negeri dan kejayaan menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat dalam pilihanraya 2008 menjadi titik mula Reformasi 3.0 atau fasa ketiga perjuangan ini. Rakyat memberikan kesempatan untuk kita melaksanakan segala wawasan yang kita juarai selama ini di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat. Angkatan Muda Keadilan secara konsisten menjadi rakan dalam pembangunan dengan memberikan peringatan dan mengemukakan pandangan agar segala janji kita dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan sebaiknya demi memenuhi amanah dan harapan rakyat.

Kini kita tiba di persimpangan besar Reformasi 3.0 iaitu Pemilihan Keadilan 2010. Ini adalah landasan bertolak dalam perjalanan kita membebaskan Malaysia daripada BN. Kebijaksanaan anggota untuk memilih pemimpin yang paling sesuai untuk memimpin Parti Keadilan Rakyat, khususnya Angkatan Muda Keadilan yang menjadi barisan hadapan dan benteng pertama perjuangan, akan menjadi penentu masa depan Reformasi. Keputusan bijak memilih pemimpin yang komited dan berkebolehan akan menjadi tanjakan yang melonjakkan perjuangan kita membebaskan Malaysia daripada BN.

Kita memerlukan keberanian dan hikmah kebijaksanaan untuk berjaya. Keberanian tanpa hikmah adalah tolol dan kebijaksanaan tanpa keberanian tanda pengecut. Kita tawarkan kepada anggota keseimbangan
antara keduanya. Kita bersedia dengan komitmen dan kesungguhan untuk melakukan yang terbaik.

Kita kemukakan tiga garis besar yang akan memandu Angkatan Muda Keadilan Malaysia dalam usaha menjayakan Reformasi 3.0:


1.0 Memperkasakan organisasi dan pengurusan Angkatan  Muda Keadilan

Demi memastikan kita mampu memimpin harapan rakyat dan mengemudi perubahan, organisasi Angkatan Muda Keadilan perlu mantap dan teguh. Tahun-tahun 2006 sehingga 2008 telah kita habiskan untuk membina semula organisasi yang runtuh akibat pembelotan. Ternyata kita berjaya mengecewakan para pengkhianat yang mahu melihat Angkatan Muda Keadilan terkubur. Berkat kesabaran dan kerjasama semua kita menjadi lebih mantap. Tahun-tahun 2008-2010 menyaksikan gerakan membina jaringan yang pesat. Tumpuan telah kita berikan kepada negeri-negeri yang masih belum dibebaskan daripada BN.

Kita memerlukan mandat anggota untuk penggal 2010-2013 bagi memastikan usaha pemerkasaan Angkatan Muda Keadilan dapat diperhebat dan diperluaskan, khususnya di negeri-negeri barisan hadapan baru –Sabah dan Sarawak.

i. Pemerkasaan Sekretariat Pusat

Sekretariat Pusat akan diperkemaskan dengan penambahan tenaga kerja sepenuh masa dan pelaksanaan skim gaji yang lebih memuaskan. Sekretariat ini akan memainkan peranan yang lebih utama dengan menyediakan bimbingan dan khidmat sokongan bagi memperkemaskan Angkatan Muda Keadilan di seluruh negara dan di setiap peringkat. Biro-biro juga akan dicergaskan untuk memastikan kita siap siaga sebagai kerajaan menanti. Satu skim perantis yang memberi peluang kepada anggota-anggota untuk menyumbangkan tenaga akan diwujudkan.

ii. Melaksanakan Skema Latihan Angkatan Muda.

Skema Latihan Angkatan Muda (SLAM) akan diperkenalkan untuk semua anggota baru. Para anggota yang berhasrat memegang jawatan kepemimpinan harus mengikuti latihan modul khas kepemimpinan. Kita mahukan anggota dan pemimpin yang berkualiti bagi mengharungi cabaran memimpin rakyat.

iii. Skuad Angkatan Muda sebagai jentera tetap AMK.

Skuad Angkatan Muda akan dijadikan struktur jentera AMK secara tetap. Kita akan melatih anggota-anggota yang bersedia untuk digerakkan dengan pantas apabila keadaan memerlukan. Kehadiran kita di kancah masyarakat akan dirasai khususnya di kempen pilihanraya. Peranan skuad juga akan diperkemaskan untuk memberi bantuan khidmat masyarakat.

iv. Menyediakan sokongan ekonomi kepada anggota.

Pemimpin dan anggota kita yang mempunyai pengalaman dan kepakaran di dalam bidang perniagaan dan kewangan akan digembling untuk membantu ekonomi anggota. Penubuhan One Stop Centre (OSC) akan berperanan untuk memberikan khidmat nasihat dan sokongan kepada anggota-anggota yang berhasrat menjalankan perniagaan. OSC ini juga akan berperanan mempadankan anggota yang mempunyai idea perniagaan berdaya maju dengan sumber modal dan dana.


2.0 Penggemblengan tenaga dan jaringan generasi muda

i. Membentuk kerjasama pintar dengan organisasi swadaya masyarakat.

Jaringan anak muda akan diperluaskan bukan sahaja di kalangan mereka yang mempunyai kecenderungan kepada penglibatan aktif dalam politik. Kita perlu membina kesedaran di kalangan seluruh generasi muda Malaysia mengenai peranan yang mampu dimainkan mereka bagi menzahirkan masa depan Malaysia yang lebih baik. Kita akan bekerjasama dengan organisasi belia, mahasiswa dan sebagainya

ii. Memperkemaskan Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat.

Kita akan memainkan peranan utama untuk memastikan Sekretariat ini benar-benar mampu mewakili dan mengangkat suara dan harapan anak muda Malaysia.

iii. Mencergaskan usaha pendaftaran pengundi baru.

Usaha mendaftarkan lebih ramai pengundi khususnya generasi muda akan menjadi satu misi utama dalam penggemblengan tenaga generasi muda menzahirkan Harapan Baru untuk Malaysia.


3.0 Membentuk semula citra Malaysia berpaksikan nilai

i. Menolak secara total amalan perkauman.

Sebagai manusia beragama, kita beriman bahawa kemajmukan bangsa, kerencaman budaya dan kepelbagaian bahasa adalah dicipta oleh Tuhan yang satu. Kerana itu kita menolak secara total sikap perkauman. Kita mesti bersikap adil dan berkongsi kekayaan negara ini untuk dinikmati oleh semua dan setiap rakyat.

ii. Memperkasakan usaha membebaskan sistem kehakiman daripada cengkaman penguasa.

Perjuangan keadilan untuk Anwar adalah usaha membebaskan sistem kehakiman daripada cengkaman penguasa. Sebelum ini rakyat menerima sahaja dengan pasrah keputusan mahkamah. Tetapi kes Anwar Ibrahim telah membuka mata rakyat dan membina keberanian rakyat untuk mempersoalkan keputusan-
keputusan yang bertentangan dengan akal budi (common sense).

iii. Menggiatkan usaha membina kesedaran hak rakyat.

Pemerintah kini semakin sedar bahawa mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya. Rakyat semakin kritikal dan bersedia ke hadapan menuntut dan mempertahankan hak mereka. Ini sebahagiannya adalah hasil gerakan Reformasi memerdekakan minda rakyat. Namun usaha ini masih perlu diteruskan dengan lebih giat agar Malaysia benar-benar merdeka.



Fasa seterusnya adalah untuk kita melaksanakan islah, melaksanakan perubahan yang lebih besar. Kita mahu merobah negara ini agar kembali kepada jati diri yang luhur. Cukup sudah kerosakan yang dilakukan Barisan Nasional!
Ayuh anak muda! Bersama laksanakan tanggungjawab kita. Mari kita sempurnakan amanah rakyat.

Masanya telah tiba. Bersatulah untuk Reformasi!


逆流而上,带领希望


公正党斗争阶段已来到第三阶段,即第一斗争阶段为1998年安华被逮捕时期,人民开始勇敢站起来反对不公的事情;第二斗争阶段为2004年安华被释放后,公青团被当时的领导人背叛遗弃,使到当时的年轻领袖费神费力的组织青年团,当时也即将面临2008年全国大选的考验。而当今已来到2008年政治海啸后的第三斗争阶段。以下为三大指南能落实烈火莫息3.0

1.0 巩固公正党青年团的组织操作及管理

i.  巩固中央秘书处的操作

ii. 进行系统性培训青年团计划

iii.公青部队为公青团固定单位

iv. 提供团员经济支助


2.0 组织及动员年轻人的网络及人力资源

i.  与各种类的社团组织合作

ii. 使民联青年团秘书处更系统化

iii.更活跃的注册新选民


3.0 重新塑造有原则的马来西亚形象

i.  反对任何形式的种族主义

ii. 争取独立的司法机构

iii.普及人民对自己的权利的醒觉




No comments:

Post a Comment